Thursday, September 17, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...!!!

'HARI NI LAST DAY'....hhmm..

hari ni aku masih berkerja..(tapi dalam hati ni seminggu ni dah mood raya dah..heheh). sok dah start cuti nak beraya.. plan nk balik kampung hubby di Kelantan. jauh...tp bkn selalu pun blk kan..so kena la bersabar dgn dugaan di jln raya tu..dijangka jem yg teruk...huhu..redah je lar..nk wat camna kan..? dah ready fizikal dan mental ni. raya ke-4 baru balik kampung ku. biasa la..dah kawin ni kena la bergilir-gilir..sepakat membawa berkat....

sebut pasal 'hari ni last day' kerja teringat aku kata-kata tu pernah disebut oleh opismate aku dulu..masa tu raya tahun 2003. biasa la kan..hari last sebelum bercuti panjang balik beraya masing-masing akan pegi jumpa kengkawan satu opis nak salam-salam..ucap selamat hari raya..minta maaf...minta ampun..pe lagi yg berkaitan la kan..termasuk la kawan aku ni. masa dia jumpa aku tu aku minta maaf dengan dia sebab tak dapat berbuka puasa dengan dia tahun tu. aku kata ngan dia, puasa tahun depan ye..dia diam je..

nk dijadikan citer..kawan aku tu..meninggal dunia masa hari raya ke brp ntah..ke-3 ke ke-4. lupa plak..masa aku dpt tau (bos aku yang call bagitahu tu..) yg kawan aku ni dah takde, masa tu aku tengah drive nak beraya rumah saudara di segamat. punya le terkejut...trus aku bagi signal kiri..park kat tepi. huhu..sedih ooo..kawan aku dah takde..mak ayah aku risau tengok aku. bleh ke idak aku sambung drive nih. amik masa 5 -10 minit..baru aku start drive semula..nk pegi ziarah..jauh lak. nun di negeri pantai timur. hanya al-fatihah saja dapat ku kirim untuknya..

apa yang tak boleh aku lupa ialah kawan aku tu beriya-iya sangat nk ajak aku berbuka puasa tapi ada je alasan yang aku bagi.akhirnya sampai last day puasa pun kami tak dapat berbuka puasa bersama-sama. itu yg membuatkan aku terkilan sesangat..

sejak tu aku tak guna dan memang kurang selesa bila dengar istilah 'hari ni last day'. jantung aku mesti terkezut kejap kalo ada kawan2 aku guna istilah tu. sebab tu la aku mesti tanya sesapa pun 'bila start cuti'.. 'bila balik kampung'.. dan aku harap2 jgn org tu jawab..'hari ni last day'.. dan aku sendiri takkan guna istilah tu..

aku: 'sok dah start cuti'...
1/10/09 baru keja semula.

Friday, September 4, 2009

MAKAN....

Memang rumit nak bagi nadhirah makan sekarang..tak nak makan je dia. masak, dia tak nak makan..beli pun dia tak nak.(kalo gula2 laju je..tak pun pandai je cari katner tmpt letak gula2 kat rumah..hhmm..ni la jadinya kalo dah bagi makan makanan ringan). Tetiba jumpa tips ni kat kosmo!..paste kat blog ni.harap jadi ingatan camna nk tangani masalah ini.

Menangani anak cerewet makan

Tangani anak yang tidak suka makan atau terlalu cerewet memilih makanan dengan tip-tip berikut.

Sajian comel

Sediakan sajian berkhasiat tetapi dalam bentuk yang comel untuk menggoda si kecil menjamahnya. Misalnya, anda boleh meletakkan pelbagai jenis sayuran aneka warna atau membuat bentuk mainan daripada buah-buahan pada sajian mereka.

Ini akan membuatkan si kecil makan dan mendapat zat yang secukupnya daripada sajian yang diberikan.

Pelbagaikan menu

Sediakan menu yang berlainan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Ini dapat mengelakkan si kecil berasa jemu.

Alihkan perhatian

Jika anak tidak mahu menjamah makanan yang diberi, cuba alihkan perhatiannya. Tunjukkan pada si kecil bahawa makanan tersebut sangat enak dan anda sangat berselera ketika menikmatinya.

Ia secara tidak langsung membuatkan anak anda teringin untuk mencubanya. Selang seli menyuapkan makanan tersebut pada mulut anda dan juga pada mulut si kecil.

Temani anak

Temani anak anda sepanjang dia makan, dan jadikan waktu itu pengalaman santai yang menyeronokkan.

Jauhkan makanan ringan

Jauhkan makanan ringan seperti kentang goreng daripada rumah anda. Makanan ini mempunyai kandungan nutrisi yang rendah dan akan merosakkan selera makan anak anda terhadap makanan yang lebih berkhasiat.

Jumlah sedikit

Beri makanan dalam jumlah yang sedikit, tetapi lebih kerap. Ruang perut anak adalah kecil. Oleh itu, mereka akan berasa lapar dengan lebih cepat.

Buat sajian

Galakkan anak anda merancang dan membuat sajian bersama-sama. Ia sekali gus membuatkan anak anda bersemangat untuk menikmati makanan yang mereka sediakan bersama ibu tersayang.

Sajian lain

Jika anak anda menyukai makanan tertentu, cuba masak makanan lain dengan cara yang sama.

PUASA OH PUASA

Kelebihan buah kurma

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Ia baik untuk diet, malah kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan

RAMADAN datang lagi. Buah kurma atau tamar pastinya menjadi pilihan umat Islam di seluruh dunia sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Populariti kurma mengatasi hidangan lain ketika berbuka puasa dan buah ini menjadi makanan utama Nabi Muhammad SAW yang diteladani umat Islam zaman berzaman.

Umat Islam dianjurkan berbuka puasa dengan buah kurma sebaik terbenamnya matahari kerana ia perkara yang disunatkan.

Selain bulan puasa, biasanya masyarakat Melayu Islam sering dihadiahkan kurma oleh jemaah yang baru pulang dari mengerjakan ibadat haji di Makkah.

Menjadi makanan wajib di Asia Barat, kurma menurut ensiklopedia Wikipedia dipercayai berasal di sekitar Teluk Parsi dan ditanam sejak zaman kuno dari Mesopotamia hingga prasejarah Mesir, kira-kira 4,000 tahun Sebelum Masihi. Bukti arkeologi pula menunjukkan kurma mungkin berasal dari timur Arab dalam 6,000 tahun Sebelum Masihi.

Buah ini kemudian dibawa pedagang Arab ke Asia Selatan, Asia Tenggara, utara Afrika dan Sepanyol yang mana orang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke Mexico dan California pada 1765.

Tarikh sebenar kurma dibawa ke Malaysia tidak diketahui tetapi ia dipercayai diperkenalkan pedagang Arab yang datang berniaga dan berdakwah ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Pengusaha kurma terkemuka di negara ini, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata setiap tahun permintaan terhadap kurma meningkat dan biasanya syarikatnya membawa masuk kira-kira 3,000 hingga 4,000 tan dari beberapa negara seperti Iran, Iraq, Mesir, Tunisia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Afrika Selatan.

Beliau yang juga pemilik dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, berkata biasanya stok dibawa masuk dua bulan sebelum Ramadan bagi memudahkan urusan pemasaran dan pengagihan kepada pemborong dan wakil jualan di seluruh negara.

“Syarikat kami bukan hanya membawa masuk kurma untuk pasaran tempatan, tetapi juga menjadi pembekal utama untuk pasaran di Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

Tahun ini, gudang kami yang lebih besar baru dibuka, jadi jumlah stok lebih banyak berbanding pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau menjelaskan harga kurma bagi sambutan Ramadan kali ini meningkat sedikit, namun beliau masih mengekalkan harga untuk pasaran tempatan dengan kadar lama.

“Ada beberapa negara pembekal kurma menjual lebih mahal dari tahun lalu tetapi untuk pasaran Malaysia kita masih mengekalkan harganya.

Namun, beberapa bekalan kurma segar yang banyak dijual seperti tahun lalu tidak dapat dipasarkan tahun ini kerana bekalan berkurangan.

“Musim menuai kurma biasanya pada September dan Oktober. Jadi, tahun ini kita kurangkan membawa masuk kurma segar kerana kos membawanya menggunakan kargo udara mahal. Kita jangka stok baru yang lebih segar akan sampai awal September nanti,” katanya yang menguasai 50 peratus pasaran kurma di negara ini.

Penolong Pengarah, Bahagian Zat Makanan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Surainee Wahab, berkata kurma atau nama botani Phoenix dactylifera mengandungi zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, kalsium, vitamin B1, vitamin B2, beta karotena serta niasin.

“Buah kurma amat sesuai untuk dijadikan hidangan berbuka puasa kerana kandungan tenaganya yang tinggi dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras yang normal.

“Amalan berbuka puasa yang baik ialah dengan mengambil tiga biji kurma yang kaya dengan tenaga, serat, vitamin dan mineral.

Kemudian diikuti dengan setengah cawan jus buah-buahan. Selepas itu bolehlah mengambil satu mangkuk kecil sup sayur berserta dengan satu atau dua keping roti.

“Bagi mereka yang menghidapi kencing manis, buah kurma boleh diambil sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Namun begitu, mereka perlu mengawal pengambilannya. Mereka boleh mengambil tiga biji kurma tetapi perlu mengehadkan pengambilan makanan serta minuman manis yang lain,” katanya.

Kurma baik untuk diet pemakanan, malah, kandungan zatnya dapat membantu dalam perubatan (mempunyai tenaga pembersihan) dan estringen pada masalah usus yang dapat mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.

Ia juga dapat digunakan dalam masalah sakit kerongkong, selesema dan demam, juga dikatakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia, selain mempunyai pelbagai khasiat lain.

Oleh kerana kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium, ia sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin. Jus kurma dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Kandungan zat besi yang terkandung pada buah berkenaan juga menyebabkan wanita berpantang sesuai mengambilnya sebagai hidangan tanpa keraguan. Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

Kurma juga membantu melancarkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran. Berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sum-sum tulang.

Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga, selain berkhasiat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda kanak-kanak. Justeru, ia sangat sesuai untuk perut kosong, memberikan tenaga dan menyegarkan kisaran penghadaman.

Dilaporkan 100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C yang diperlukan badan dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ). Oleh kerana kurma mengandungi sedikit air, ia masih pekat walaupun sudah kering.

Bermakna dengan memakan kurma, badan mendapat tenaga mencukupi walaupun hanya dimakan sebiji dan segelas air. Oleh sebab itulah ada individu yang memilih berbuka puasa dengan hanya sebiji kurma dan badan sudah berupaya mendapat tenaga kembali selepas sehari suntuk berpuasa.

Kini, kurma bukan hanya dimakan umat Islam tetapi menjadi pilihan pelbagai masyarakat dunia yang hidangkan dalam pelbagai resipi serta juadah. Dengan ada reka cipta dalam dunia masakan, kurma boleh dinikmati pelbagai cara dan tidak lagi hanya dimakan sebagai buah semata-mata. Pakar masakan mula menjadikan kurma sebagai bahan pilihan dalam resipi yang dicipta.

Selain digabungkan dengan coklat, manisan dan agar-agar, kurma menjadi ramuan dalam kek, biskut dan jem yang menjadi menu tidak kira bagi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Peniaga juga memberi wajah baru kepada kurma dengan membuang biji dan digantikan dengan badam, dipakej dengan cara yang menarik dan kemas.

Malah, kini kurma menjadi bahan utama dalam hamper yang dihadiahkan kepada kawan-kawan, kenalan, saudara mara serta rakan niaga terutama menjelang Ramadan.

Wednesday, September 2, 2009

Salah bantal atau salah diri sendiri?

Ni ada tips bagi mengurangkan sakit bahu atau leher. Biasa yang kita salahkan bantal yang tak tahu apa2 tu..so, boleh try bagi yang bermasalah. yang tak ada masalah pun boleh try.

EKSTRA - TIP LEGAKAN KESAKITAN

1. Urutan adalah cara yang paling baik untuk melegakan sakit tengkok dan bahu. Seeloknya pergi berurut apabila terasa lenguh dan jangan tunggu sehingga sakit.

2. Alihkan kedudukan atau terbalikkan tilam sebulan sekali bagi mengelakkan badan sakit-sakit disebabkan spring tilam yang semakin tertonjol.


3. Untuk mengelakkan lenguh berpanjangan, gulungkan tuala membulat mengikut kepanjangan bantal. Masukkan ke dalam sarungnya supaya ia dapat menyokong tengkuk semasa anda tidur.

4. Tekapkan beg ais atau beg air panas pada bahagian yang lenguh selama 15 minit hingga 20 minit. Ia mampu memberi kelegaan kepada anda.

Sumber: Kosmo! (2 Sept 2009) ruangan kesihatan

Thursday, August 27, 2009

HAPPY 4th BDAY NADHIRAH!!

26 Ogos 2009
Pejam celik, pejam celik kejap je Nur Ainun Nadhirah dah berusia 4 thn. Disebabkan jatuh pada 5 Ramadhan 1430 maka kami sambut lepas berbuka puasa.

<-Makanan ni dah siap2 bungkus nak bagi kengkawan irah kat taska.

Makanan yang sempat disediakan (mama beli pizza n kek, ayah beli sup tulang..hehe) ->

kek bday irah!


Bday girl!



ni adik bday girl..tido je.

Monday, August 3, 2009

Untuk sihat dan elak gemuk: Diet ikut kumpulan darah?

Sedang leka melayari blog ini http://abimuslih.wordpress.com/, aku tertarik dengan artikel ini. So, aku pun copy la...untuk berkongsi ilmu kan...

Diet berdasarkan golongan darah pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Peter J.D´Adamo yang menjalankan penelitian pada setiap jenis darah yang menunjukkan kesan fisiologi berlaku terhadap lektin yang masuk dalam tubuh badan. Lektin adalah protein yang terdapat pada makanan, khususnya tumbuhan kekacang. Setiap protein makanan yang diserap tubuh, menurutnya hanya sesuai dengan jenis darah tertentu.

Dalam bukunya, “Eat Right For Your Type” yang diterbitkan pada tahun 1996 menerusi kajian yang dijalankan bertahun-tahun itu menjelaskan bahawa setiap individu memiliki tindakbalas yang berbeza terhadap makanan berdasarkan jenis darah yang dimiliki. Menurutnya, diet yang tidak berjaya berkait rapat dengan perkaitan ini dengan menambah bahawa lektin makanan yang tidak serasi dengan jenis darah tertentu akan membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan individu antaranya penggumpalan sel darah merah dan pelbagai komplikasi lain.

Ini berbeza dengan pengambilan makanan yang sesuai dengan jenis darah kerana ia memberikan kesan positif antaranya keadaan emosi yang lebih stabil, mudah mengatasi tekanan dan peningkatan daya tahan lawan penyakit. Selain itu pengambilan makanan yang bersesuaian dengan jenis darah juga dipercayai dapat mengembalikan fungsi sistem tubuh dan memperbaiki metabolisma tubuh.

Darah terdiri daripada empat jenis iaitu A,B,AB, dan O.

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘A’

Dr. Peter J.D´Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit. Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain. Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan.

Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas. Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya. Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.

Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.

Ciri khas individu jenis darah A:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
• Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
• Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
• Cukup beristirehat

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
Snek: Jus anggur / kopi
Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
Makan Malam : Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘B’

Berbeza dengan individu darah jenis A, individu darah jenis B lebih fleksibel. Teori Dr. Peter J.D’Adamo menyarankan golongan jenis darah ini menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.

Ciri khas golongan darah B:

• Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
• Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
• Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi.
• Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.

Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.
Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali ‘blue chesse’ dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.

Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak
Snek: Jus anggur
Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba
Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba
Makan Malam : Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘AB’

Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan darah jenis A dan B. Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan. Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk.

Golongan daripada jenis darah ini, harus menghadkan pengambilan daging lembu, udang dan ikan laut, susu dan semua produk susu serta daging yang diproses. Makanan berasaskan kekacang pula perlu diambil dalam kuantiti sedikit. Kurangkan pengambilan berasaskan gandum seperti roti, kek, kuih-muih dan pasta.

Ciri khas individu jenis darah AB:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
• Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju
Snek : Yogurt
Makan Tengahari : Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba
Snek: Kek keju dan teh herba
Makan Malam : Omelet dan salad buah serta kopi

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘O’

Dr. Peter J.D´Adamo menyarankan agar pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum. Beliau turut menyarankan agar pemilik darah jenis ini menghadkan pengambilan buah-buahan.

Pemilik darah jenis O harus menghindari semua jenis bijirin, pasta dan nasi. Dr. Peter J.D´Adamo turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu dihindar seperti sayur brokoli, sawi, taugeh, terung, cendawan, dan kentang. Bagi pemilik darah jenis ini, telur, susu, gandum dan kekacang tidak diperlukan memandangkan tubuh telah mendapat khasiat daripada sumber daging.

Hindari jeruk kerana ia mampu mendatangkan keracunan usus kepada golongan darah jenis ini.

Ciri khas golongan darah O:

• Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
• Mudah mengadaptasi berbagai makanan
• Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
• Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
• Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang
Snek : Teh herba
Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal
Snek : Sepotong kuih
Makan Malam : Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba

Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Peter J.D´Adamo ini adalah suatu yang baru dan masih terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat.

Pemakanan sihat hakikatnya adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian dan pada masa yang sama, mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit yang berkaitan dengan pemakanan tanpa mengira jenis darah individu. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat. Justeru, terpulanglah kepada anda sama ada ingin mengadaptasi saranan Dr. Peter J.D´Adamo ataupun tidak.

Tips Petua Kesihatan

Merawat demam campak.

Ambil beberapa helai daun pokok semambu yang segar dan tumbuk dengan sedikit
beras sehingga lumat. Ambil daun yang telah lumat itu dan sapukan ke seluruh
badan sehinggarasa miang berkurangan. (p/s : Ulang jika tidak cukup. Boleh
dicampurkan sedikit air jika terlalu kering).

sumber: http://www.mail-archive.com/bursa-buku@yahoogroups.com/msg04155.html