Tuesday, July 28, 2009

NKRA

Harian Metro (Selasa, 28 Julai 2009)

KPI enam teras NKRA diumum

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

“Saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai ‘lead minister’ atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan,” katanya pada majlis Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Menurutnya, bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

No comments:

Post a Comment